makanan dalam tin

Adakah makanan dalam tin yang ‘expired’ masih selamat dimakan?

Makanan dalam tin dan balang kaca sememangnya banyak memudahkan hidup. Tidak kiralah sama ada anda berada di hostel, hotel ataupun berkhemah di tengah hutan belantara, kemungkinan besar anda mesti pernah dan biasa menggunakan makanan ‘segera’ ini.

makanan dalam tin

Anda juga mesti pernah terfikir bahawa makanan dalam tin adalah makanan paling berguna jika negara dilanda darurat. Selain mudah, ia amat tahan lama sehingga bertahun-tahun malah ada yang tahan berdekad lamanya.

Persoalannya, walaupun ada tanda tarikh tamat tempoh pada setiap tin, adakah makanan dalam tin sebenarnya boleh tahan sampai bila-bila?

Kenapa makanan dalam tin boleh tahan lama?

Semasa proses pengetinan, makanan diisi ke dalam tin yang baru, bersih dan ditutup dengan kedap. Makanan itu kemudian diuji melalui pelbagai ujian kualiti sebelum dipanaskan pada suhu melebihi takat didih air iaitu sekitar 116-121°C. Pada suhu ini, bakteria dan pelbagai patogen dineutralkan atau dimatikan.

tin akan dipanaskan dengan stim

Mana-mana makanan boleh menjadi rosak dan basi disebabkan terdapat mikroorganisma yang hinggap pada makanan melalui udara atau sesuatu yang menyentuh makanan. Memandangkan penutup telah dipasang dengan kedap semasa pengetinan, maka tidak akan ada lagi bakteria atau spora baru yang akan masuk ke dalam tin. Jadi, apabila anda membuka tin dalam beberapa bulan, tahun atau dekad berikutnya, besar kemungkinan makanan itu masih selamat dimakan.

pengilangan makanan dalam tin

Bilakah makanan dalam tin akan mula rosak?

Makanan dalam tin akan mula bermasalah sekiranya keadaan tin tidak dijaga dengan baik. Sebagai contoh, tempat penyimpanan yang lembap atau tin menjadi basah, proses pengoksidaan dan penghidratan boleh menyebabkan tin mula berkarat. Walaupun karat itu tidak sampai ke bahagian dalam, proses pengoksidaan yang berlaku boleh membuka ruang kepada mikroorganisma untuk masuk ke dalam tin.

jangan beli makanan dalam tin yang sudah kemek

Begitu juga apabila tin terjatuh dan menjadi kemek atau rosak. Keadaan ini boleh menjejaskan keadaan kedap udara tin itu sehingga membolehkan mikroorganisma masuk ke dalam.

Walaupun setiap tin telah melalui proses pensterilan, ada sesetengah makanan yang masih mengandungi spora tidak aktif yang tidak dimatikan sepenuhnya. Jika tin ini terdedah kepada matahari atau haba, udara dalam tin boleh mengembang dengan peningkatan suhu. Seterusnya ia akan menghasilkan persekitaran yang ideal untuk menggandakan bilangan mikroorganisma. Ini amat jarang berlaku, tetapi masih boleh terjadi.

Sebab itulah kita selalu nampak arahan pada tin tertera ayat“Keep in cool, dry and dark places.”

makanan dalam tin balang kaca yang rosak

Sentiasa berhati-hati!

Sebelum memakan apa-apa makanan dalam tin, pastikan anda semak terlebih dahulu tarikh luput pada tin. Walau bagaimanapun, menurut satu kajian yang dijalankan ke atas makanan tin berusia 40 tahun, makanan yang sudah melebihi tarikh luput sebenarnya masih selamat dimakan walaupun kandungan nutrisinya telah berkurang.

Apa-apapun, pastikan anda mengikuti langkah-langkah berikut semasa membeli atau membuka makanan dalam tin:

  1. Periksa keadaan tin sama ada terdapat bahagian yang kemek, kembung atau rosak. Bagi balang kaca, pastikan penutupnya tidak menjadi kembung.
  2. Buka tin dan periksa jika terdapat petanda mikroorganisma telah mula membiak pada permukaan makanan atau penutup.
  3. Cuba hidu bau makanan.
  4. Rasa terlebih dahulu dan pastikan ia masih elok untuk dimakan.
  5. Makanan mengandungi asid seperti tomato kebiasaannya mempunyai jangka hayat yang lebih pendek.

Sekiranya makanan yang dibuka itu masih elok, selamat menjamu selera. Namun, jika anda berasa ragu-ragu dalam mana-mana langkah, buang sahajalah makanan tersebut. Lebih baik mencegah sebelum anda dikejarkan ke hospital akibat keracunan makanan.

sambal sardin

Selain sardin, makanan dalam tin apa yang wajib ada di dalam kabinet dapur anda?

sumber:iluminasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *