Halima Aden Buktikan Tak Perlu Lucutkan Pakaian Untuk Jadi Model Antarabangsa

Baru-baru ini jadi kontroversi bila foto seorang model Melayu dari negara ini tanpa pakaian tersebar di laman sosial.

Dia dikecam hebat kerana beraksi di luar batasan demi memenuhi tuntutan kerjayanya sebagai model untuk satu jenama.

Pernah menyertai program realiti tv Asia’s Next Top Model, gadis itu bagaimana pun punya hujah tersendiri menepis kecaman tersebut.

Ironi Halima Aden

Tapi menariknya pada masa yang sama kontroversi gadis Melayu itu heboh di negara ini, dunia fesyen antarabangsa pula sedang hangat memperkatakan tentang kehadiran model Muslimah Halima Aden.

Masih mengekalkan imej berhijab, gadis berusia 19 tahun ini berjaya berjalan di pentas peragaan antarabangsa membawa jenama hebat.

Tanpa perlu melucutkan pakaian dan hanya menjadi dirinya sendiri, Halima kini bergelar model berhijab pertama yang menyertai agensi model antarabangsa terkenal IMG.

Agensi yang sama mengetengahkan bakat supermodel termasuk Kate Moss, Gigi dan Bella Hadid, Rosie Huntington-Whiteley, Joan Smalls dan Lauren Hutton.

Halima pula menjadi nama baru yang dibawa agensi ini dengan penampilan pertama di New York Fashion Week.

Beliau dengan bangganya memperagakan busana Kanye West, masih kekal dengan hijab dan sopan.

Sebelum itu wajah Halima lengkap berhijab tampil menjadi cover untuk majalah Glamour US, Allure dan juga Vogue Arabia.

Anak kelahiran Somalia ini mula menempa nama bila dia menjadi Muslimah pertama menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota November lalu.

Dalam pertandingan ini, ketika peserta lain tampil dengan bikini dia pula penuh dengan penuh yakin berjalan mengenakan burkini, pakaian renang muslimah yang menutup tubuh.

Keyakinan itu mungkin juga kerana selama ini Halima sudah terbiasa kelihatan berbeza.

“Muslim di Amerika adalah minoriti dan selalu dipandang negatif. Saya mahu mengubah perkara itu. Saya mahu semua menukar pandangan masyarakat tentang Muslim terutama dalam dunia kecantikan.

“Untuk gadis Muslimah sekiranya anda minat pada sesuatu dan anda tidak pernah melihat Muslimah lain menceburinya maka itu adalah tugas anda untuk jadi perintis.

“Buka pintu untuk orang lain. Saya tidak rasa saya akan menjadi satu-satunya model berhijab, pasti akan ada Muslimah lain selepas ini,”ujar Halima yang mengidamkan bekerja dengan UNICEF ketika wawancara bersama majalah Glamour.com

Lahir di kem pelarian

Halima yang dilahirkan di kem pelarian berhijrah ke Amerika Syarikat bersama ibunya pada usia 7 tahun dan pada usia itulah juga dia mula mengenakan hijab.

Tidak menganggapkan hijab mengekang perjalanan masa depannya ujar gadis ini, hijab inilah sebenarnya yang banyak melindungi dirinya.

“Penampilan Muslimah yang banyak menutup tubuh ini membolehkan saya dipandang dari sudut lain bukan penampilan semata-mata. Saya tak perlu risau orang mengata tentang tubuh badan saya,”ungkapnya memetik laporan independent.co.uk.

vanillakismis

Sumber: www.glamour.com, www.allure.com, www.independent.co.uk

sumber : the harian, com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *