Remaja Sakan ‘Berselfie’ Tidak Sedar Rakan Terkapai-kapai Kelemasan Hingga Mati

Setiap orang gemar berswafoto demi merakam saat-saat indah bersama keluarga dan sahabat handai. Namun, ada juga segelintir pihak yang menjadi cuai apabila berswafoto hinggakan mereka tidak menyedari dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Hal yang sedemikian telah pun menimpa seorang remaja lelaki di India apabila dia ditemui mati lemas tanpa disedari oleh rakan-rakannya yang sibuk ‘berselfie‘, lapor Malaysian Digest.
Sumber: Malaysian Digest

Dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu, Vishwas G, 17, merupakan antara 25 pelajar dari kolej National Cadets Corp (NCC) Bengaluru yang mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh pihak kolej berkenaan.

 

Pada petang itu, mereka beramai-ramai memutuskan untuk berenang di kolam dengan kedalaman 10 kaki di daerah Ramanagram. Selepas selesai bermandi-manda, kumpulan remaja terbabit sempat menangkap gambar swafoto mereka sebelum melawat sebuah kuil yang terletak berdekatan.

Namun, dek kerana terlalu seronok merakamkan detik itu, mereka tidak menyedari bahawa Vishwas sedang terkapai-kapai kelemasan sewaktu foto tersebut ditangkap.

Gambar hiasan

Lebih teruk lagi, mereka hanya menyedari kehilangan Vishwas selepas lebih kurang satu jam. Salah seorang rakannya dikatakan menyedari ketiadaan Vishwas tatkala melihat semula gambar-gambar yang ditangkap. Mereka kemudian terkejut apabila mendapati gambar itu memaparkan kepala Vishwas yang sudah tenggelam di dalam air!

Menyedari akan insiden malang itu, mereka dengan segera menghubungi polis Kagalipura dan mayat Vishwas yang tenggelam di dasar kolam tersebut akhirnya berjaya ditemukan.

“Gambar itu sendiri menunjukkan bahawa Vishwas tenggelam dan tiada siapa melihatnya. Kawan-kawan dan semua orang ada di sana, tetapi mereka tidak melihat apa-apa,” ujar Umar, rakan sekolej Vishwas.

 

Ekoran insiden tersebut, ibu bapa Vishwas menyalahkan pihak kolej atas kecuaian mereka mengabaikan keselamatan pelajar sewaktu lawatan berkenaan. Bapa Vishwas, Govind mengatakan bahawa tiada sebarang tindakan diambil terhadap pihak kolej dan pihak polis mengklasifikasikan kematian anaknya sebagai luar biasa.

“Selepas pihak kolej membawa pelajar, bukankah itu tanggungjawab mereka? Kolej itu berkata itu tanggungjawab NCC. Namun pihak kolej mengatakan mereka tidak tahu mengenainya.”

Gambar hiasan

Selepas disiasat, ternyata pelajar-pelajar kolej berkenaan tidak mempedulikan papan tanda yang melarang mana-mana individu untuk masuk atau berenang di dalam kolam tersebut. Jangan langgar peraturan!

Itulah, kalau seronok sekali pun nak selfie, make sure korang peka dengan keadaan sekeliling ye rakan-rakan.

sumber : lobak merah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *