Sering Selesema? Ambil Perhatian, Anda Mungkin Penghidap Kanser Nasofarinks Tanpa Sedar

Kesihatan hidung jarang sekali dititik beratkan oleh majoriti masyarakat dengan anggapan bahawa ia tidak memerlukan penjagaan rapi, apatah lagi letaknya hidung adalah pada wajah yang boleh dibelek setiap kali bercermin.

Masalah hidung seperti hidung tersumbat seringkali dikaitkan dengan resdung, manakala sakit kepala disebabkan tekanan, selesema berpunca daripada jangkitan virus atau bakteria dan hidung berdarah akibat cuaca panas.

Simptom-simptom di atas sering dipandang mudah dan menjangkakan tiada masalah serius yang boleh berlaku. Malah, kita sering menganggap gejala tersebut mungkin berlaku disebabkan gejala sinusitis.

Sinusitis adalah masalah keradangan pada lapisan membran dalam mana-mana ruang sinus. Keradangan ini boleh menyebabkan gejala selsema seperti hidung tersumbat, sakit pada pipi, sakit kepala berpanjangan, sakit sekitar muka dan mata serta selalu bersin terutama di waktu pagi.

Keadaan bertambah rimas apabila muka turut gatal seolah-olah ada sesuatu yang merayap pada wajah. Masalah ini boleh menjadi lebih teruk apabila terdedah kepada perubahan cuaca (sejuk), pencemaran alam sekitar serta habuk dan bakteria.

Sedekad yang lalu, masalah sinusitis dianggap sebagai penyakit yang unik kerana penghidap-penghidapnya hanya ditemui dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara dan China Selatan. Namun kini, sinusitis adalah masalah yang sangat lazim dan ditemui diseluruh dunia.

Malah, jika dibuat imbasan kepada 10 orang normal, 8 orang didapati mempunyai masalah sinusitis yang tidak memerlukan rawatan. Bakteria adalah antara punca yang lazim ditemui menjadi punca kepada masalah ini.

Namun, adakah anda terlintas di minda anda bahawa keradangan ini mungkin disebabkan oleh nasofarinks ataupun kanser pangkal hidung?

Anda perlu maklum bahawa kanser ini sukar dikesan kerana tiada simptom ketara yang ditunjukkan, malah hampir serupa dengan sakit biasa. Pemeriksaan biasa juga tidak mampu mengenal pasti masalah ini disebabkan kedudukannya di bahagian belakang hidung dan di atas tekak.

Menurut, Dr Mallina Sivarajasingam , Perunding telinga, hidung dan tekak (ENT) merangkap Pakar Bedah Kepala dan Leher Pusat Perubatan Tropicana, kanser nasofarinks adalah sejenis kanser yang menyerang bahagian pangkal hidung sehingga ke farinks.

Serangan pada bahagian itu dianggap bahaya kerana terletak di kawasan sempit dan tersembunyi, berdekatan dengan otak dan tiub eustachia iaitu saluran yang menyambungkan farinks dengan telinga tengah.

Bahagian itu dianggap berisiko kerana terletak di kawasan sempit dan tersembunyi, berdekatan otak dan tiub eustachia iaitu saluran yang menyambungkan telinga tengah dengan farinks.

“Karsinoma nasofarinks kerap ditemui tumbuh daripada ‘fossa rosenmuller’ dan merebak ke hidung, tenggorok serta dasar tengkorak. Selalunya, 70 peratus daripada pesakit akan mengalami simptom hingus atau kahak bercampur darah. Ia bukan keluar secara menitis, tetapi hanya bercampur sedikit. Darah berkenaan pula merah cerah, bukan kecoklatan.

“Keduanya, 60 peratus daripada pesakit akan mempunyai kesan bengkak di tepi leher. Bengkak ini bagaimanapun tidak mendatangkan rasa sakit, sebaliknya akan terus membesar dari semasa ke semasa.

“Simptom ketiga adalah paling kerap ditemui iaitu telinga tersumbat. Ini lazimnya ditemui dalam kalangan pesakit dewasa. Mereka datang ke hospital dan mengadu kurang dengar, telinga tersumbat, pendengaran terhalang dan sebagainya, namun tidak berasa sakit. Ini berlaku apabila tumor tumbuh berdekatan tiub eustachia dan menutup ruang yang menghubungkan telinga. Akibatnya, banyak cecair bertakung di bahagian dalam salur yang akan menekan gegendang dan akhirnya menghalang pendengaran.

“Selain itu, ada juga simptom lain yang jarang berlaku seperti rasa kebas di bahagian pipi dan diplopia atau sebelah mata tidak boleh bergerak. Apabila ini berlaku, boleh dianggap pesakit sudah menderita kanser tahap empat,” katanya.

Ujar Dr Mallina, kaum Cina merupakan yang paling berisiko menghidapi masalah ini, seterusnya masyarakat di Sabah dan Sarawak terutamanya Bidayuh.

“Hal ini dipengaruhi faktor migrasi penduduk yang sebahagian daripada mereka ini berdarah campuran Filipina. Sementara Filipina pula mempunyai banyak pengaruh Cina. Kemudian, barulah pecahan kaum Melayu dan India.

“Penyebab utama yang dikesan ketika ini adalah faktor genetik atau keturunan. Jika seseorang itu mempunyai sejarah keluarga yang menghidap karsinoma nasofarinks, dia perlu tahu petanda dan simptom awal serta mengambil langkah berjaga-jaga.

“Dari segi jantina, kanser ini selalunya akan menyerang lelaki dengan nisbah 3:1 berbanding wanita manakala umur pula tergolong dalam kelompok 40 hingga 60 tahun. Perlu diingatkan perokok antara kelompok yang berisiko lebih tinggi,” katanya.

IKAN MASIN SEBABKAN KANSER

Selain faktor genetik, tabiat pemakanan terutamanya kepada mereka yang gemar memakan makanan diawet seperti ikan masin, sayuran berjeruk dan makanan dalam tin juga dikatakan punca epada masalah ini.

“Makanan yang diawet seperti ikan masin dan daging salai biasanya mengandungi nitrosamina. Ia bersifat karsinogenik yang cenderung membawa kepada kanser. Begitu juga dengan orang yang terdedah kepada suasana kerja tidak sihat, berdepan habuk serta banyak bermain dengan bahan pelarut serta pencair (thinner). Mereka ini tergolong dalam kelompok berisiko,” katanya.

Menurutnya, berbanding pelbagai jenis penyakit yang lain, kesembuhan kanser dinilai dari sudut yang berbeza. Kesembuhan ini bergantung kepada tahap kanser dihidapi, jenis rawatan yang diambil dan tingkat kelangsungan hidup pesakit itu sendiri.

“Apabila kita bercakap mengenai kanser, kesembuhan pesakit diukur daripada tahap kelangsungan hidup mereka dalam tempoh lima tahun selepas mendapatkan rawatan sewajarnya. Sekiranya mereka mampu melangkaui jangka masa itu, pesakit dianggap sembuh.

“Jadi, bagi pesakit kanser nasofarinks tahap satu, mereka mempunyai 80 peratus peluang untuk melepasi tempoh lima tahun. Bagi tahap dua, tiga dan seterusnya, peratus ini akan semakin berkurangan. Sebab itulah pesakit di saran menjalani saringan awal sekiranya tergolong dalam kelompok berisiko atau mendapati simptom berkaitan pada tubuh.

“Jangan mudah membuat kesimpulan sendiri, sebaliknya usahakan untuk bertemu dengan pakar ENT di hospital berdekatan kerana lokasi tumor ini memang sukar dilihat. Doktor biasanya akan menggunakan skop nasofarinks (nasoskopi) yang dilengkapi kamera untuk melihat kewujudan tumor, meneliti saiz dan posisinya serta mengenal pasti sejauh mana kanser merebak.

“Kemudian doktor akan terus mengambil biopsi daripada hidung untuk dihantar ke makmal bagi mengenal pasti jenis karsinoma nasofarinks, sama ada ia terdiri daripada ‘keratinizing’‘non-keratinizing’ atau ‘undifferentiated’. Ketiga-tiga jenis klasifikasi ini mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” tambahnya lagi.

Namun keadaan menjadi berbeza apabila pesakit hadir ke hospital dengan bengkak di tepi leher. Beliau berkata, kes berkenaan akan melibatkan prosedur kajian sel atau disebut sebagai sitologi iaitu jarum dimasukkan ke dalam bahagian berkenaan bagi mendapatkan sampel uji kaji.

“Seterusnya, barulah doktor lakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada bahagian otak, nasofarinks, leher dan paru-paru. Imbasan ini penting kerana paru-paru adalah tempat pertama yang membolehkan karsinoma nasofarinks merebak keluar dari tempat asalnya. Malah, 60 peratus metastasis (kanser merebak) adalah kepada organ berkenaan. Bermula daripada pangkal hidung, tenggorok, kemudian ke dasar tengkorak, kanser ini boleh merebak ke tisu limfa dan akhirnya pergi ke paru-paru,” katanya.

Mengenai kaedah pemulihannya pula, rawatan utama yang sering diguna pakai adalah radioterapi.

“Bagi pesakit kanser tahap satu, hanya akan diberi radioterapi atau kaedah terkininya disebut IMRT (intensity modulated radioterapi). Kalau dulu, pesakit terpaksa melalui rawatan radioterapi luaran, tetapi kini IMRT lebih berfokus ke arah tumor itu sendiri.

“Sebelum ini pesakit kanser nasofarinks dirawat dengan terapi sinaran 60 Gray (Gy) dari luar dan semua bahagian tubuh atau organ sehingga ke lapisan tumor akan mendapat kesan radiasi dalam jumlah sama. Tetapi kini sinaran berkenaan akan terarah 100 peratus kepada tumor, sementara lapisan luaran menerima dalam peratusan yang lebih rendah. Ini sekali gus mengurangkan kerosakan pada bahagian sekitar seperti telinga dan mata.

“Kemudian, bagi pesakit kanser tahap dua sehingga empat, mereka akan diberi rawatan IMRT bersama kemoterapi. Rawatan pembedahan adalah sangat kecil dan jika diperlukan sekalipun hanyalah bagi kes berulang di bahagian hidung atau leher. Jika ia berulang di tempat sama, doktor akan keluarkan (buang) semua bahagian nasofarinks melalui hidung secara endoskopi.

“Semua rawatan yang ada ketika ini adalah berisiko rendah kecuali bagi pesakit kanser tahap tiga dan empat. Pada situasi ini, ada yang sel kansernya sudah merebak ke otak dan menjejaskan saraf. Jadi itu akan membawa lebih banyak masalah. Malah yang sampai ke paru-paru juga diklasifikasi sebagai tahap empat,” katanya.

ADA KESEDARAN, TAPI LAMBAT

Dr Mallina juga berkata, rakyat Malaysia kini semakin mengambil berat mengenai kesihatan dan perubahan pada tubuh malah ada yang membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala serta merujuk pandangan pakar. Namun, majoriti yang lewat mendapatkan rawatan seringkali didiagnosis tahap tiga atau empat kanser nasofarinks.

“Setakat ini, boleh dikatakan 70 peratus pesakit datang pada tahap tiga dan empat kerana kanser ini sukar dikesan. Mereka bukan saja tidak nampak perubahan dalaman, malah tidak berasa sakit. Jika ada sekalipun, hanya sedikit kesan darah bercampur hingus. Itu pun masih ramai yang fikir ia perkara normal.

“Sebaik-baiknya jika umur sudah mencecah 50 tahun, merokok dan ada sedikit kesan darah dalam hidung, rujuklah kepada doktor. Ramai orang, kalau mengalami bengkak di leher yang tidak sakit, mereka tidak pergi ke klinik atau hospital. Mereka fikir, kalau tidak sakit maka tidak perlu risau. Tapi sebenarnya, yang tidak sakit itulah perlu dirisaukan.

“Petanda kanser ini sangat kecil dan ia tumbuh di kawasan tersembunyi. Biasanya, memang ia tidak memberi masalah sehinggalah telinga atau hidung tersumbat. Itu bermakna tumor itu sudah membesar. Apabila sampai tahap sakit kepala berpanjangan, berdengung, itu bermakna tumor berkenaan sudah agak besar.

“Perhatikan beberapa tanda ini. Jika ada kesan darah keluar bersama hingus dan ia berpanjangan, anda lelaki, Cina dan berumur antara 40 hingga 50 tahun, segeralah ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya.

TIP PENJAGAAN TEKAK DAN HIDUNG

1. Bersederhana dalam pengambilan diet harian.

2. Minum air secukupnya.

3. Amalkan pengambilan probiotik.

4. Jangan merokok.

5. Hindari kawasan sesak dan berhabuk.

6. Perbanyakan pengambilan sumber antioksidan.

Sumber : myMetro

sumber : siakap keli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *